Sihat Milikku - Kementerian Kesihatan Malaysia @MyHEALTHKKM
49.1K subscribers
18K photos
1.81K videos
53 files
7.66K links
Saluran ini adalah untuk Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia berkongsi maklumat pendidikan kesihatan dengan masyarakat.
加入频道
UBAT GENERIK & INNOVATOR 💊💉

Apakah Ubat Innovator
Ubat innovator adalah ubat yang dicipta kali pertama, mengandungi bahan aktif tertentu dan menerima kelulusan untuk digunakan. Lazimnya ubat dihasilkan setelah dikenalpasti tahap kualiti, keselamatan dan keberkesanannya untuk digunakan. Apabila sesuatu ubat baru pertama kali dibangunkan, ia akan dipatenkan oleh syarikat yang mencipta ubat tersebut dan kebanyakan paten ini dilindungi sehingga 20 tahun. Sepanjang tempoh paten tersebut, syarikat lain tidak dibenarkan membuat ubat yang sama sehinggalah tempoh paten tamat.

Apakah Ubat Generik
Ubat generik adalah ubat yang mengandungi bahan aktif yang sama dengan ubat innovator. Bahan aktif adalah bahan kimia yang memberikan kesan pengubatan dalam sesuatu jenis ubat. Dalam erti kata lain, kesan farmakologi ubat generik adalah sama seperti ubat innovator. Ubat generik dihasilkan satelah paten sesuatu ubat innovator tamat.

Adakah ubat innovator dan ubat generik sama
Ubat innovator dan ubat generik adalah sama dan boleh ditukar ganti. Terdapat beberapa persamaan antara ubat generik dan ubat innovator. Antaranya adalah seperti berikut:
💊Kandungan Bahan aktif
💊Dos atau kekuatan ubat
💊Kesan teraputik
💊Kesan sampingan ubat
💊Cara pengambilan ubat

Contoh Ubat Innovator Dan Generik:

Contoh 1
Bahan aktif: Ranitidine HCL
Innovator: Zantac
Generik: X’tac

Contoh 2
Bahan aktif: Mefenamic acid
Innovator: Ponstan
Generik: Mefetab

Contoh 3
Bahan aktif: Piroxicam
Innovator: Feldene
Generik: Apo-Piroxicam

Adakah kualiti, keselamatan dan keberkesanan ubat generik sama dengan ubat innovator
Semua ubat termasuk ubat generik perlu melalui syarat dan penilaian yang sangat ketat sebelum ianya di daftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah(PBKD) di Malaysia untuk memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan ubat. Ujian kesetaraan- bio pula dikenakan ke atas ubat generik untuk memastikan kesan teraputik ubat generik sama dengan ubat innovator dan ianya boleh ditukar ganti. Oleh itu, ubat generik yang didaftar dengan PBKD adalah sama berkualiti, selamat dan berkesan dengan ubat innovator.

Mitos Mengenai Ubat Generik 🦄
Berikut adalah beberapa mitos yang seringkali dikaitkan dengan ubat generik:
🙅🏻‍♀️Ubat generik adalah tidak selamat berbanding innovator
🙅🏻‍♀️Ubat generik kurang berkesan berbanding ubat inovator
🙅🏻‍♀️Ubat generik mengambil masa lebih lama untuk bertindak di dalam tubuh.

Ubat generik menggunakan bahan-bahan aktif yang sama seperti ubat innovator dan memberi kesan dengan cara yang sama. Ubat generik juga mempunyai risiko dan manfaat yang sama seperti ubat innovator.

Walau bagaimanapun ubat generik mungkin kelihatan sedikit berbeza kerana bahan-bahan yang tidak aktif seperti pewarna dan perasa yang mungkin berbeza daripada ubat innovator. Bahan-bahan ini tidak memberi kesan kepada keselamatan, keberkesanan dan prestasi ubat generik.
Oleh itu mitos bahawa ubat generik adalah kurang berkualiti berbanding ubat jenama asal innovator adalah tidak benar.

Isu Ubat Generik 🤔
Memandangkan harga ubat generik yang jauh lebih murah berbanding ubat inovator, orang awam selalunya beranggapan bahawa kualiti dan keberkesanan ubat generik telah dikompromi bagi mengurangkan kos pembuatannya. Sebenarnya, kos untuk membangunkan sesuatu jenis ubat baru (innovator) memerlukan pelaburan wang yang besar bagi tujuan penyelidikan, pembangunan, pemasaran dan promosi ubat tersebut.

Penghasilan ubat-ubat generik tidak melibatkan kos penyelidikan dan pembangunan dari awal, maka kos yang dilaburkan adalah jauh lebih rendah berbanding ubat innovator. Apabila terdapat banyak syarikat berlumba-lumba mengeluarkan dan menjual ubat generik yang sama, persaingan di antara mereka juga boleh menyumbang kepada harga yang lebih kompetetif.

Walau bagaimanapun, pengeluar ubat generik mestilah membuktikan bahawa produk yang dihasilkan adalah berkesan dan setara kualitinya dengan ubat innovator melalui bukti kesetaraan-bio.

#KenaliUbatAnda #Generik #Inovator
#JanganLupeBasuhTangan #PakaiMaskDiTempatTertutup

Sumber: Jabatan Farmasi, Hospital Kajang