CPRC Kementerian Kesihatan Malaysia
452K subscribers
28K photos
309 videos
240 files
2.02K links
Crisis Preparedness and Response Center, Ministry of Health Malaysia
加入频道
Sihat Milikku - Kementerian Kesihatan Malaysia @MyHEALTHKKM:
𝐔𝐒𝐀𝐇 𝐓𝐄𝐑𝐏𝐄𝐃𝐀𝐘𝐀 𝐇𝐄𝐋𝐀𝐇 𝐏𝐄𝐍𝐉𝐔𝐀𝐋𝐀𝐍 𝐕𝐀𝐊𝐒𝐈𝐍 𝐂𝐎𝐕𝐈𝐃-𝟏𝟗 𝐃𝐀𝐋𝐀𝐌 𝐓𝐀𝐋𝐈𝐀𝐍

Program Perkhidmatan Farmasi (PPF), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) giat menjalankan Kempen Kesedaran Waspada Pembelian Ubat dalam Talian untuk mendidik orang awam tentang risiko pembelian ubat secara dalam talian. Melalui tag line #biarbetuliklanni!, pengguna dinasihatkan supaya tidak mudah percaya akan iklan-iklan ubat dan pelbagai testimoni yang meragukan di internet.

Kini, terdapat segelintir individu yang menjual produk kesihatan dikatakan dapat merawat jangkitan COVID-19. Malah, produk yang didakwa sebagai vaksin COVID-19 juga didapati telah dijual melalui platform e-dagang dan media sosial.

𝐕𝐚𝐤𝐬𝐢𝐧 𝐂𝐎𝐕𝐈𝐃-𝟏𝟗 𝐩𝐞𝐫𝐥𝐮 𝐛𝐞𝐫𝐝𝐚𝐟𝐭𝐚𝐫

Semua produk farmaseutikal termasuk vaksin di Malaysia perlu berdaftar dengan KKM sebelum dipasarkan kepada pengguna. Sehingga 2 Mac 2021, KKM telah meluluskan pendaftaran bersyarat kepada tiga produk vaksin COVID-19. Produk-produk ini ialah COVID-19 Vaccine AstraZeneca Solution for Injection, CoronaVac Suspension for Injection (Sinovac) dan COMIRNATY Concentrate for Dispersion for Injection.

Kesemua vaksin ini akan digunakan bagi proses vaksinasi melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. Sepanjang program ini, proses penerimaan, agihan, simpanan dan pemberian vaksin dijalankan di fasiliti yang ditetapkan oleh kerajaan. Antaranya termasuklah fasiliti kesihatan kerajaan dan beberapa fasiliti kesihatan swasta yang terpilih. Akses kepada vaksin dikawal oleh petugas kesihatan yang diberi kuasa dengan bantuan pasukan keselamatan.

Tiada vaksin COVID-19 lain yang diluluskan pendaftaran untuk dijual kepada orang awam. Produk yang dijual sebagai vaksin COVID-19 dalam internet berkemungkinan besar adalah palsu. Orang awam dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan tidak terpedaya dengan helah peniaga yang mengambil kesempatan.

𝐔𝐛𝐚𝐭 𝐓𝐞𝐫𝐤𝐚𝐰𝐚𝐥 𝐭𝐢𝐝𝐚𝐤 𝐛𝐨𝐥𝐞𝐡 𝐝𝐢𝐣𝐮𝐚𝐥 𝐬𝐞𝐜𝐚𝐫𝐚 𝐝𝐚𝐥𝐚𝐦 𝐭𝐚𝐥𝐢𝐚𝐧

Vaksin COVID-19 tergolong dalam kategori Ubat Terkawal. Secara umumnya, Ubat Terkawal tidak dibenarkan untuk dijual secara dalam talian. Pembekalan Ubat Terkawal kepada pesakit memerlukan preskripsi yang sah daripada doktor yang merawat. Ubat Terkawal boleh dikenal pasti melalui nombor pendaftaran MAL yang berakhir dengan abjad A.

Hanya produk daripada kategori ubat am (over the counter), sediaan tradisional dan produk kesihatan tambahan sahaja yang boleh dijual secara dalam talian. Produk-produk ini pula boleh dikenal pasti melalui nombor pendaftaran MAL yang berakhir dengan abjad X bagi ubat am, T bagi sediaan tradisional dan N untuk produk kesihatan tambahan.

𝐍𝐚𝐬𝐢𝐡𝐚𝐭 𝐮𝐧𝐭𝐮𝐤 𝐨𝐫𝐚𝐧𝐠 𝐚𝐰𝐚𝐦

Orang awam disarankan untuk menyemak status produk sebelum membeli produk-produk yang dijual dalam talian. Status pendaftaran produk boleh disemak melalui laman web Bahagian Regulatori Farmasi Negara (National Pharmaceutical Regulatory Agency, NPRA) di alamat www.npra.gov.my, dengan menggunakan fungsi Carian Produk (Product Search). Semakan juga boleh dilakukan menggunakan aplikasi telefon pintar NPRA Product Status. Aplikasi ini boleh dimuat turun daripada Google Playstore dan Apple App Store.

Selain itu, orang awam hendaklah mengenal pasti premis fizikal penjual dalam talian. Syarikat yang membuat jualan produk kesihatan perlu dipastikan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Elakkan membeli ubat daripada laman sosial atau penjual dari luar negara.

Usah terpedaya dengan iklan yang mengandungi janji-janji manis termasuklah yang melibatkan jangkitan COVID-19, penyakit kronik serta peningkatan fungsi seksual. Orang awam perlu berwaspada dengan iklan yang mengandungi kenyataan seperti ‘terbaik’, ‘berkesan’, ‘dijamin selamat’ dan ‘mujarab’.