CPRC Kementerian Kesihatan Malaysia
452K subscribers
28K photos
309 videos
240 files
2.02K links
Crisis Preparedness and Response Center, Ministry of Health Malaysia
加入频道
Kenyataan Akhbar KPK 5 Jun 2021 – Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) di Malaysia

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan status terkini kes COVID-19 di Malaysia sehingga 5 Jun 2021 (jam 12:00 tengah hari);

• Kes sembuh : 6,105 kes (521,676 kes kumulatif, 85.4%);
• Kes baharu : 7,452 kes (610,574 kes kumulatif);
• Kes import : 8 kes (4 warganegara, 4 bukan warganegara);
• Kes tempatan : 7,444 kes [6,308 warganegara (84.7%); 1,136 bukan warganegara (15.3%)];
• Kes aktif : 85,607 kes;
• Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) : 886 kes;
• Kes memerlukan bantuan pernafasan : 446 kes;
• Kes kematian : 109 kes (3,291 kes kumulatif, 0.54%; 105 warganegara, 4 bukan warganegara);
• Jumlah kluster : 2,308 kluster;
• Jumlah kluster baharu : 24 kluster;
• Jumlah kluster yang telah tamat :1,607 kluster; dan
• Jumlah kluster aktif : 701 kluster.

Sebanyak 109 kes kematian pada hari ini yang melibatkan 33 kes di Selangor, 22 kes di Johor, 12 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, sembilan (9) kes di Negeri Sembilan, enam (6) kes di Kelantan, masing-masing lima (5) kes di Kedah dan Melaka, empat (4) kes di Perak, tiga (3) kes di Wilayah Persekutuan Labuan, masing-masing dua (2) kes di Sabah, Sarawak, Pulau Pinang, Pahang, serta masing-masing satu (1) kes di Terengganu dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Untuk kenyataan penuh, baca lanjut di: https://kpkesihatan.com/2021/06/05/kenyataan-akhbar-kpk-5-jun-2021-situasi-semasa-jangkitan-penyakit-coronavirus-2019-covid-19-di-malaysia/
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sememangnya memahami kegusaran masyarakat dengan situasi penularan COVID-19 di negara kita sehingga mulai tersebar pula banyak khabar angin mengenai pelbagai jenis ubat yang dikatakan berkesan dalam merawat COVID-19. Pelbagai testimoni juga tular di media sosial sehingga mengelirukan masyarakat. Hakikatnya rawatan ubat-ubatan yang berkesan untuk COVID-19 masih menjadi cabaran bukan sahaja di Malaysia, malahan negara-negara lain juga, termasuk negara maju.

Satu ujian klinikal iaitu Randomised Evaluation of COVID-19 Therapy (RECOVERY) menunjukkan sejenis ubat steroid iaitu dexamethasone dapat membantu mengurangkan kadar kematian jika diberi kepada pesakit pada tahap kritikal iaitu ketika memerlukan bantuan oksigen atau semasa memerlukan mesin pernafasan. Namun begitu untuk pengurusan kes COVID-19 yang ringan dan sederhana, masih belum ada rawatan yang khusus, baik untuk mencegah penyakit daripada melarat atau pun untuk menghentikan penyebaran virus. Malaysia menyertai kajian oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia iaitu COVID-19 Solidarity Trial for COVID-19 Treatments (SOLIDARITY). Setakat ini kajian ini masih belum mendapat bukti yang konklusif penggunaan ubat-ubatan seperti remdesivir, hydroxychloroquine, interferon dan lopinavir bagi mengurangkan kematian.

Ramai yang mencadangkan penggunaan ubat Ivermectin. Ivermectin adalah ubat anti-parasit yang diluluskan oleh FDA dan kebiasaannya digunakan untuk haiwan dan untuk merawat beberapa penyakit tropika termasuk onchocerciasis, strongyloidiasis dan helminthiases. Penggunaan "off-label" Ivermectin untuk COVID-19 mula mendapat perhatian global kerana terdapat beberapa kajian kes dan ujian klinikal yang menunjukkan keputusan yang baik.

Namun, belum ada bukti yang betul-betul meyakinkan bagi mengesyorkan penggunaan Ivermectin untuk COVID-19 di mana FDA sendiri tidak meluluskan penggunaan Ivermectin dalam merawat atau mencegah COVID-19 pada manusia. Perkara ini telah dijelaskan oleh FDA dalam artikel yang bertajuk ‘Why You Should Not Use Ivermectin to Treat or Prevent COVID-19’ bertarikh 3 Mei 2021. WHO setakat ini hanya mengesyorkan penggunaan Ivermectin dalam ujian klinikal, di mana pesakit perlu dipantau rapi oleh doktor pakar dan penyelidik yang berpengalaman untuk menjamin keselamatan dan keberkesanan. Begitu juga, European Medicines Agency (EMA) telah mengambil pendekatan yang sama iaitu belum mencadangkan penggunaan Ivermectin sebagai rawatan COVID-19 susulan tiada data klinikal yang mencukupi bagi membuktikan keberkesanan produk tersebut dalam merawat atau mencegah COVID-19 sebagaimana kandungan artikel yang bertajuk ‘EMA Advises Against Use of Ivermectin for the Prevention or Treatment of COVID-19 Outside Randomised Clinical Trials’ pada 22 Mac 2021.

Oleh itu, mengikut saranan yang sama, KKM dan Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) KKM telah memulakan ujian klinikal (Randomised Control Trial) di 12 hospital KKM bagi mengkaji kesan penggunaan Ivermectin berbanding rawatan standard yang diberikan kepada 500 pesakit COVID-19 kategori 2 dan 3 yang berisiko tinggi dan berumur 50 tahun ke atas. Ianya bertujuan mengkaji keberkesanan Ivermectin dalam mencegah pesakit COVID-19 ini daripada menjadi lebih serius (kategori 4 dan 5) dan mengurangkan kematian. Kajian ini telah diberi kelulusan oleh Jawatankuasa Kajian dan Etika Perubatan (Medical Research and Ethics Committee - MREC), KKM pada 25 Mei 2021. Kajian telah bermula pada 31 Mei 2021 dan sehingga kini 8 pesakit telah didaftarkan terlibat dalam kajian ini.

Untuk kenyataan penuh, baca lanjut di: Ministry of Health Malaysia starts Ivermectin trial for high risk COVID-19 patients (I-TECH Study) https://kpkesihatan.com/2021/06/05/ministry-of-health-malaysia-starts-ivermectin-trial-for-high-risk-covid-19-patients-i-tech-study/