CPRC Kementerian Kesihatan Malaysia
452K subscribers
28K photos
309 videos
240 files
2.02K links
Crisis Preparedness and Response Center, Ministry of Health Malaysia
加入频道
KENYATAAN AKHBAR
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

SITUASI SEMASA JANGKITAN PENYAKIT CORONAVIRUS 2019
(COVID-19) DI MALAYSIA
7 MAC 2020

STATUS TERKINI KES COVID-19 DI MALAYSIA

Terkini, KKM ingin memaklumkan bahawa sehingga 7 Mac 2020, jam 12 tengah hari, terdapat 10 kes baharu (kes ke-84 hingga kes ke-93) jangkitan COVID-19 telah dilaporkan. Kesemua kes ini telah dikesan dan diasingkan untuk rawatan selanjutnya. Kontak-kontak rapat bagi kes ini juga sedang dikenalpasti untuk siasatan dan pengambilan sampel selanjutnya.

Kesemua kes baharu yang dilaporkan pada hari ini merupakan kontak rapat kepada kes ke-33 di mana, empat (4) kes iaitu kes ke-85, 86, 87 dan 93 merupakan generasi pertama kontak rapat kepada kes ke-33, manakala enam (6) kes baharu ini pula merupakan generasi kedua iaitu kontak rapat kepada kes ke-33 iaitu kes ke-84, 88, 89, 90, 91, dan 92. Kesemua kes ini telah dikesan semasa aktiviti pengesanan kontak dan telah dimasukkan ke hospital bagi isolasi dan rawatan selanjutnya.

KKM ingin memaklumkan hasil siasatan terkini terhadap kontak-kontak rapat kepada kes ke-26, mendapati satu kluster jangkitan COVID-19 berkait dengan kes ke-33. Sejumlah 132 kontak rapat telah dikenalpasti berkait dengan kes ini. Daripada jumlah tersebut, 18 kes telah disahkan positif, kini masih dirawat di hospital dan berada dalam keadaan stabil. Manakala, 38 kontak rapat adalah negatif dan diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah untuk tempoh 14 hari. Keputusan makmal bagi 76 lagi kontak rapat masih belum diperolehi namun semua kontak rapat ini dilaporkan sihat dan diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah. KKM masih menjalankan siasatan dan aktiviti pengesanan kontak rapat masih diteruskan bagi mengenalpasti punca di mana kes mendapat jangkitan dan seterusnya mencegah penularan jangkitan tersebut.

KKM juga ingin memaklumkan bahawa kes ke-78 yang dilaporkan pada 6 Mac 2020, merupakan kes yang dikesan daripada Patient Under Investigation (PUI). Kes ini mempunyai sejarah perjalanan ke Indonesia selama tujuh (7) hari bermula pada 13 Februari 2020 dan mula bergejala pada 19 Februari 2020. Sebanyak 67 orang kontak rapat telah dikesan dan diambil sampel. Kesemua kontak rapat ini telah diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah.

Dengan pertambahan 10 kes baharu ini, menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 93 kes. Kes-kes positif ini adalah dalam kalangan Patient-Under-Investigation (PUI) jangkitan COVID-19, kontak rapat, dan Misi Bantuan Kemanusiaan. Daripada jumlah ini, 75 orang adalah warganegara Malaysia, 15 orang adalah warganegara China dan tiga (3) orang adalah lain-lain warganegara (iaitu Amerika Syarikat, Jepun serta Itali). Sehingga kini, sebanyak 70 kes masih dirawat di beberapa buah hospital, manakala seramai 23 kes telah sembuh dan discaj dari hospital.

KKM telah menjalankan survelan COVID-19 bagi mengesan kes sporadik dan kes tempatan di Malaysia melalui pesakit influenza-like-illness (ILI) dan severe acute respiratory infection (SARI) yang tiada kaitan dengan sejarah perjalanan ke negara-negara yang terjejas atau kontak dengan kes positif COVID-19. Sehingga 7 Mac 2020, sebanyak 432 sampel telah diuji dan setakat ini tiada sampel dikesan positif jangkitan COVID-19. Berdasarkan maklumat semasa, buat masa ini tiada kes sporadik COVID-19 yang dikesan melalui aktiviti survelan ini.


NASIHAT KESIHATAN

1. KKM ingin menasihatkan orang ramai agar menangguhkan perjalanan ke luar negara terutamanya ke wilayah-wilayah atau bandar-bandar yang diisytiharkan sebagai kawasan wabak COVID-19 di Republik Rakyat China, Republik Korea, Jepun, Itali dan Iran (seperti yang dimaklumkan sebelum ini).

2. Orang awam juga dinasihatkan untuk sentiasa mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan air dan sabun, atau menggunakan hand sanitizer. Segera dapatkan rawatan perubatan sekiranya mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk mahupun kesukaran untuk bernafas.

3.
Orang awam juga diingatkan untuk tidak menyebarkan berita atau maklumat yang tidak sahih berkaitan kejadian COVID-19 ini. Maklumat terkini berkenaan perkembangan semasa kejadian COVID-19 boleh didapati daripada laman sesawang KKM.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan COVID-19 dari semasa ke semasa dan orang awam akan sentiasa dimaklumkan mengenainya.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

7 Mac 2020 @ 4:00 petang
Salam sejahtera dan Salam hormat. Ribuan terima kasih kepada keseluruhan rakyat Malaysia yang membantu kami di KKM untuk membendung wabak COVID 19 di negara kita.

Haruslah kita ingat, seperti yang ditekankan oleh Dr Tedros, DG WHO (dengan izin):


“This is the time for Facts, not Fear;
This is the time for Science, not Rumours;
This is the time for Solidarity, not Stigma”

Bersama-sama kita bertenang menghadapi wabak ini. Sila ikuti perkembangan terkini dari masa ke semasa.

Terima kasih.

CPRC KKM